mutakhir

Nasihat 3K buat pegawai polis muda

Oleh Omar Ahmad

SELEPAS lebih 34 tahun berkhidmat sebagai pegawai polis dengan 16 kali pertukaran, Datuk Shafie Ismail berbangga bersara dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Polis Johor.

Selepas persaraan yang berkuat kuasa pada tengah malam ini, dia mahu fokus kepada minatnya terhadap aktiviti memancing dan mencandat sotong di Setiu, Terengganu selepas pandemik Covid-19 berakhir.

"Sepanjang berkhidmat selama 34 tahun tiga bulan, sebanyak 16 kali saya ditukarkan dengan posisi yang paling singkat saya pegang 58 hari iaitu Komander Briged Tengah.

"Jawatan paling lama saya sandang pula ialah sebagai Ketua Polis Daerah Sibu selama enam tahun tiga bulan" katanya ketika berucap di majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Khaw Kok Chin menggantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baru.

Serah terima tugas antara Shafie dan Khaw itu disaksikan oleh Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebagai orang lama, Shafie menasihatkan pegawai polis muda menjaga 3K iaitu kesihatan, keluarga dan kerja.

"Jika tidak sihat sukar untuk melakukan tugas, jaga keluarga dan kerja kita sebagai anggota polis," katanya yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Johor itu sejak Oktober tahun lalu.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 1:36pm
d