mutakhir

Ceroboh untuk jadi 'rumah' sendiri

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

PENGANGGUR didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Jempol, hari ini kerana menceroboh sebuah rumah di Taman Jaya, Bahau untuk dijadikan tempat tinggalnya, 30 April lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Khir Nizam Jemari selepas tertuduh C Marthandar, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh rumah milik lelaki yang sudah meninggal dunia di Taman Jaya, Bahau pada 2.30 petang, 30 April lalu untuk dijadikan tempat tinggalnya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari anak pemilik rumah yang datang ke kediaman itu bersama suaminya untuk mengambil barang di dalam rumah terbabit.

Bagaimanapun, suami isteri itu terkejut apabila mendapati pintu rumah sudah dirosakkan dan mendapati tertuduh berada di dalam, sebelum menghubungi pihak polis.

Tertuduh sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditangkap tidak jauh dari lokasi kejadian.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 1:59pm
d