mutakhir

Pemohon bantuan rumah perlu jujur...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan menolak serta-merta permohonan bantuan rumah baharu sekiranya mendapati pemohon mempunyai aset lain.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci mengenai aset pemohon sebelum memberi bantuan walaupun mereka mendiami pondok yang daif.

"Sebenarnya kes pondok tak ada dinding memang banyak tetapi apabila kita semak ada kes pondok yang baru dibina seminggu dan mewarisi aset bapa mereka sehingga tujuh relung atau kira-kira dua hektar tanah.

"Sepatutnya pemohon boleh menjual sedikit tanah yang dimiliki dan bina rumah. Kita perlu beri keutamaan kepada fakir miskin dan tidak mempunyai harta, kalau ada pun hanya sedikit tanah untuk dibina rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan bina rumah Zakat Kedah di Kampung Sampang, Bukit Wang di Kubang Pasu, hari ini.

Zakaria berkata, antara kriteria lain permohonan mereka ditolak adalah pemohon tidak mendapat kebenaran daripada adik-beradik untuk membina rumah di atas tanah warisan keluarga.

Selain itu, katanya LZNK tidak akan membina rumah di atas tanah rizab kerajaan dan tidak berkompromi jika menerima permohonan seperti itu.

"Pada tahun lalu, kita sudah membina 137 rumah untuk fakir miskin di negeri ini dengan kos sebanyak RM5.9 juta, manakala sebanyak 348 rumah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM8.4 juta.

"Kita jangka bilangan bantuan rumah baharu dan dibaik pulih juga hampir sama, tahun ini walaupun terpaksa ditangguh seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 2:33pm
d