mutakhir

Warga asing lari kuarantin, SOP diteliti [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan dan Suraya Roslan

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) mengenai warga asing yang lari dari pusat kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh warga asing yang lari dari pusat kuarantin sedang dijejaki Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dulu pun berlaku dua warga asing lari di Selangor Mansion.

"Kita lapor polis dan dapat menjejaki semula serta tangkap mereka dan perkara sama akan dilakukan (menjejaki mereka)," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, MKN akan menilai semula SOP supaya perkara itu dapat dibendung mengenai warga asing yang melarikan diri dari pusat kuarantin.

"Insya-Allah kita akan tengok balik SOP dan periksa bagaimana mereka boleh lari daripada kawasan tersebut.

"Kalau SOP tidak ketat, kita akan perketatkan dan Insya-Allah MKN akan tengok perkara ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan tujuh lelaki warga asing dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin di sebuah institut pendidikan di Kuala Lumpur.

Kehilangan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal bersama suspek positif Covid-19 di Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru disedari 10 pagi, Isnin lalu selepas doktor bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuarantin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih membantu polis dalam penugasan sekatan jalan raya terpilih.

"ATM masih bersama polis, walaupun sekatan jalan raya sudah berkurangan dan kita fokus kepada pemantauan pematuhan terhadap SOP.

"Begitu juga dengan penugasan ATM di sempadan negara masih berjalan seperti biasa malah lebih diperketatkan terutama menjaga lorong tikus daripada dibolosi pendatang," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 3:50pm
d