mutakhir

Covid-19: 217 pesakit berisiko rendah [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah yang beroperasi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sudah memberikan rawatan kepada 217 pesakit positif wabak berkenaan sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu seramai 65 pesakit dibenarkan discaj, manakala 152 masih dirawat di pusat berkenaan.

Menurutnya, seramai 212 anggota kesihatan ditugaskan di pusat kuarantin itu membabitkan pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat terlatih, pegawai farmasi, juru x-ray, juruteknologi makmal perubatan, pegawai dietetik dan sajian serta kaunselor.

Katanya, kesemua anggota itu dimobilisasikan dari Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri, hospital KKM, hospital angkatan tentera, hospital universiti awam dan anggota sukarelawan.

"Pusat ini juga mempunyai satu pasukan dikenali pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang memberikan perkhidmatan sokongan emosi, psikologi dan spiritual kepada pesakit serta petugas.

"Pusat berkenaan menggunakan sistem teknologi maklumat iaitu HIS@KKM yang dibangunkan oleh KKM bagi pengurusan rekod perubatan pesakit merangkumi rekod perubatan elektronik yang digunakan dalam pengendalian maklumat pesakit termasuk preskripsi ubat, pemesanan diet, x-ray dan sampel perubatan.

"Di samping itu, pusat ini juga menggunakan sistem CPRC Hospital bagi tujuan pengumpulan data untuk penyelarasan dan pelaporan yang lebih tepat dan terkini," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pusat yang mula beroperasi pada 21 April lalu itu dibangunkan sebagai persediaan dan kesiapsiagaan untuk mempertingkatkan kapasiti fasiliti KKM bagi menampung pesakit Covid-19.

Mengenai kemudahan di pusat kuarantin berkenaan, katanya, KKM menyediakan perkhidmatan klinikal seperti wad yang dilengkapi 604 katil, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, farmasi, x-ray dan makmal patologi.

Beliau berkata, selain itu ia turut dilengkapi dengan ruang rehat, bilik persalinan, televisyen, komputer serta talian jalur lebar untuk keselesaan pesakit.

"Bagi petugas kesihatan pula, pusat ini mempunyai ruang kerja khusus dan tempat rehat dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kawalan keselamatan polis sepanjang masa.

"Sehingga kini, pesakit stabil diterima dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh (HSB), Institut Latihan KKM dan beberapa pejabat kesihatan daerah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta Negeri Sembilan," katanya.

Dengan operasi pusat kuarantin itu, beliau berkata, HKL boleh meneruskan semula perkhidmatannya misalnya kes pembedahan elektif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:43pm
    d