mutakhir

Covid-19: 147 lari dari pusat kuarantin [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan seramai 147 individu yang dikuarantin berkaitan jangkitan Covid-19, melarikan diri dari pusat kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka adalah dari kumpulan pembinaan.

"Setakat ini, kita ambil maklum dan sudah membuat laporan polis. Polis sedang ambil tindakan kepada yang lari dari pusat kuarantin.

"Daripada 147 individu yang lari dari pusat kuarantin, tujuh masih dikesan. Bagaimanapun, kesemua mereka negatif tetapi mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada KKM akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak ada lagi kes lari dari pusat kuarantin, Dr Noor Hisham berkata, kejadian itu bukan disebabkan masalah SOP.

"Kalau kita lihat gelombang pertama pun ada warga China lari dari pusat kuarantin. Apa yang pasti mereka ini bukan positif tetapi dikuarantinkan sebab ada terdedah kepada kes-kes positif Covid-19," katanya.

Sebelum ini media melaporkan tujuh lelaki warga asing dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin di sebuah institut pendidikan di Kuala Lumpur.

Kehilangan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal bersama suspek positif Covid-19 di Selangor Mansion, Menara City One dan Kampung Baru disedari 10 pagi, Isnin lalu selepas doktor bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:08pm
    d