mutakhir

Covid-19: Kit ujian tak cukup untuk 2.5 juta pekerja asing

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

MASALAH utama pekerja asing berkaitan penularan virus Covid-19 di negara ini ialah mereka bersesak tinggal serumah tetapi bekerja dalam sektor berlainan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, itu antara sebab warga asing menjadi fokus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mereka (warga asing) bekerja bukan hanya satu sektor tetapi pelbagai sektor dan mereka duduk sekali.

"Isunya sekarang rumah terlalu padat, jadi kena buat saringan (semua). Kita akan lakukan ujian terutama di zon merah Selangor dan Kuala Lumpur.

"Sebab di zon hijau kita tak ada terima laporan kes bukan warga negara yang dijangkiti. Sekarang kita sudah jalankan sebanyak 22,339 saringan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, setakat ini warga asing yang positif adalah 986 orang atau bersamaan 44.4 peratus.

"Masih kita rawat bukan warga negara ialah 457 kes membabitkan 46.3 peratus, dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) ada empat kes bukan warga negara atau 0.9 peratus.

"Warga asing yang sudah sembuh 525 orang atau 53.3 peratus, terdapat empat kematian atau 0.4 peratus membabitkan bukan warga negara," katanya.

Ditanya adakah kit ujian pengesanan mencukupi, katanya, pihaknya difahamkan seramai 2.5 juta pekerja asing di negara ini.

"Memang tidak cukup (kit ujian pengesanan). Sebab itu kita buat kumpulan bersasar lokaliti zon merah Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kumpulan bersasar difokuskan lagi contohnya pekerja asing di kawasan pembinaan atau kluster pasar borong," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:23pm
    d