mutakhir

11 daripada 145 warga asing lari ujian saringan ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS berjaya menahan 11 daripada 145 warga asing yang melarikan diri kelmarin selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy, Jalan Ampang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, berkata lima daripadanya ditahan hari ini manakala enam lagi warga asing ditahan, semalam.

"Buat masa ini, pihak polis sedang mengesan baki pekerja warga asing yang melarikan diri. Warga asing yang melarikan diri itu antara lebih 300 pekerja tapak pembinaan berkenaan disaring selepas ada rakan sekerja mereka yang positif Covid-19.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan keputusan ujian saringan 145 pekerja itu adalah negatif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Difahamkan kehilangan 145 pekerja tapak pembinaan yang juga warga Bangladesh itu disedari oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika mereka dalam proses pemindahan ke sebuah pusat kuarantin di ibu negara.

Dalam kejadian berasingan, pihaknya menjalankan siasatan berhubung tujuh warga asing yang melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Petaling Jaya, kelmarin dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

Mengulas mengenai laporan polis dibuat pihak KKM membabitkan kenyataan yang mendakwa beberapa pegawai tertinggi kementerian itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Huzir mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.

"Kami ada membuka kertas siasatan berhubung perkara itu, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan KKM membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa lima pegawai menteri dan kementerian itu ditahan SPRM.

Ia susulan siasatan dilakukan bagi kes pembelian khas sistem ujian dan peralatan perubatan bernilai kira-kira RM30 juta bagi menangani wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 7:07pm
    d