mutakhir

Tiada sambutan Aidilfitri di Istana Arau

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIADA majlis atau sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Arau pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

Istana Arau dalam kenyataan, hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Adalah dimaklumkan bahawa memandangkan situasi penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada masa kini belum dapat dibendung sepenuhnya.

"Mengambil kira faktor-faktor keselamatan dan kesihatan rakyat jelata, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis mengampuni perkenan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau yang lazimnya diadakan setiap tahun di Dataran Majlis, Istana Arau pada Hari Raya Pertama tidak diadakan pada tahun ini bersama 1441H/2020M.

"Semoga wabak Covid-19 ini akan segera diatasi dan seluruh rakyat diberikan kesihatan serta keselamatan oleh Allah SWT," menurut kenyataan itu.

Perlis adalah negeri terawal yang membatalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor di rumah berikutan penularan wabak Covid-19 pada Mac lalu.

Selain solat Jumaat, solat tarawih dan sebarang aktiviti pengimarahan masjid termasuk iftar Ramadan di Perlis turut ditangguhkan sehingga 31 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 8:36pm
    d