mutakhir

Selamat Hari Wesak - PM [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

TAN Sri Muhyiddin Yassin yakin penganut agama Buddha tetap dapat menyambut Hari Wesak bersama keluarga meskipun dalam suasana mencabar akibat Covid-19.

Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama itu di seluruh negara yang akan disambut esok.

"Saya faham Hari Wesak kali ini disambut dalam keadaan mencabar kerana kita sedang menempuh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

"Sambutan ini tentunya akan lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat mencegah jangkitan Covid-19 yang mengancam kehidupan normal kita.

"Tetapi, saya percaya saudara saudari penganut agama Buddha akan tetap dapat memperingati Hari Wesak bersama-sama keluarga," katanya dalam video ucapan dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Menurutnya, Hari Wesak adalah waktu untuk semua penganut agama Buddha menghayati nilai toleransi, kasih sayang dan khidmat kepada kemanusiaan seperti terkandung dalam ajaran dan kehidupan Buddha.

Muhyiddin turut menyifatkan perayaan Hari Wesak sebagai bukti prinsip dan amalan beragama sentiasa dihormati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia.

"Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak bersama keluarga kepada semua penganut Buddha di Malaysia.

"Semoga kita semua terus hidup dalam kedamaian dan harmoni. Selamat Hari Wesak, Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 9:16pm
    d