mutakhir

Mayat terdampar di pantai

Oleh Mohd Khidir Zakaria

MAYAT seorang lelaki ditemui di kawasan pantai di belakang Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di Batu 1, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima panggilan orang awam pada jam 10.48 pagi selepas ternampak mayat lelaki disyaki berbangsa India dianggarkan berumur 40-an di pantai.

"Polis yang menjalankan pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu.

"Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson dan bedah siasat dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, siasatan awal hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 36 jam.

"Bedah siasatan juga mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah.

"Polis meminta agar orang ramai yang kehilangan ahli keluarga menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau balai polis yang berhampiran," katanya.

Aidi Sham berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 11:28pm
d