mutakhir

Kepulan asap jadi tumpuan

Oleh Ruwaida Md Zain

KEPULAN asap hitam di udara dari kilang di Taman Industri, Meru, semalam menggemparkan dan menjadi tumpuan penduduk sekitar Meru malah dapat dilihat oleh penduduk berhampiran seperti Setia Alam serta Shah Alam.

Difahamkan, beberapa gambar dan video turut dikongsi di Facebook Pekan Meru, Klang selain meminta orang awam melalui jalan alternatif berikutan jalan berhampiran lokasi mengalami kesesakan.

Orang awam yang melihat kejadian itu turut merakamnya dari kediaman masing-masing dan dalam perjalanan ketika melalui lokasi terbabit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.10 petang sebelum tiba di lokasi pada 5.21 petang.

"Kebakaran ini membabitkan kilang memproses barang elektronik, bahan yang digunakan adalah daripada plastik.

"Bomba mengawal kebakaran pada 8.01 malam dengan anggaran peratusan kebakaran adalah 50 peratus.

"Pada 8.32 malam, kerja-kerja 'overhaul' dilakukan dan operasi tamat sepenuhnya, 5.25 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan.

Norazam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Beliau berkata, operasi pemadaman itu membabitkan 46 kekuatan pegawai dan anggota yang diketuai Ketua Zon Klang, Hussin Ab Rahman selaku Komander Operasi Kanan.

"Balai yang terbabit dalam operasi adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Sungai Pinang, BBP Kota Anggerik, BBP Pelabuhan Klang.

"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela dari Gombak, Seri Serdang, Kepong serta Batu," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 10:36am
d