mutakhir

Kejam sengaja gantung anjing di pokok

Oleh Norzamira Che Noh

SEORANG lelaki bertindak kejam apabila menyeksa seekor anjing dengan menggantung haiwan itu di sebatang pokok di Batu 17 Sungai Sedu, Jalan Klang Banting, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian itu dikesan oleh pegawai Bahagian Kebajikan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Cawangan Banting yang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian sekitar jam 10 pagi sebelum segera ke lokasi berkenaan.

"Lelaki berusia 45 tahun itu mengakui anjing berkenaan adalah miliknya dan enggan memberi kerjasama ketika pegawai veterinar menyuruhnya melepaskan anjing itu yang terjerut di leher.

"Bagaimanapun, selepas diberi amaran, lelaki itu akur dan membuka tali digunakan untuk menggantung haiwan malang itu.

"Pegawai berkenaan kemudiannya merampas anjing itu untuk menyelamatkannya dan kemudian dibawa ke pusat jagaan haiwan untuk pemeriksaan," katanya menerusi video yang dikongsi di Youtube RMP TV Channel.

Beliau berkata, pegawai veterinar itu kemudian membuat laporan polis dan tindakan pengadu itu selaras dengan Akta 722 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai rekod sebagai pesakit mental dan disahkan oleh Hospital Banting.

"Kes ini akan disiasat oleh pihak Jabatan Kebajikan Haiwan mengikut Seksyen 29 (Akta 722) dan dalam perkara ini saya juga ingin menyeru orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan menganiaya binatang," katanya.

"Lelaki itu juga sudah ditahan oleh bahagian kebajikan haiwan itu kira-kira jam 11 malam, semalam di rumahnya dan diserahkan kepada polis untuk tujuan reman hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Menerusi video berdurasi 1 minit 37 saat yang tular di media sosial itu, lelaki terbabit menggantung anjing berkenaan dan hanya melihat haiwan itu menggelupur kesakitan.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 1:22pm
d