mutakhir

Peluang kerja pun nak tipu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) tidak menerima dan meluluskan sebarang aktiviti temu duga di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, Selayang seperti yang disebarkan di media sosil sejak semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya menafikan iklan palsu yang mengatakan satu temu duga pengambilan pekerja pasar borong Selayang akan diadakan.

"Untuk makluman, MPS tidak menerima dan meluluskan apa-apa permohonan untuk aktiviti temu duga pekerjaan di dewan berkenaan.

"Semakan yang dibuat ke atas nombor yang disertakan di dalam iklan berkenaan juga didapati tidak aktif dan tidak dapat dihubungi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zin berkata, MPS memohon orang ramai supaya menghentikan penyebaran iklan berkenaan bagi mengelak menimbulkan kesulitan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan dan mewujudkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Untuk sebarang pengesahan maklumat berkaitan MPS, orang ramai diminta untuk melayari www.mps.gov.my atau laman sosial MPS.

"Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MPS di 1800222677 atau 03-6138 9898 untuk sebarang pertanyaan," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 2:43pm
d