mutakhir

Bersatu tak pernah bincang agenda sertai PH

Oleh Redzuan Muharam

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah membincangkan agenda untuk menyertai semula Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Bersatu Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan perkara terbabit bagi menafikan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yang seolah-olah memberi gambaran penggabungan semula itu.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu sudah memutuskan untuk keluar dari PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan.

"Bersatu ingin menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli-ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti.

"Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.

"Bersatu juga ingin menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei dan ia adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk sentiasa mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti serta melaksanakan dasar.

Mohd Radzi turut mengingatkan ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

"Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 5:18pm
d