mutakhir

Kereta putus dua, pemandu selamat

Oleh Omar Ahmad

MESKIPUN kereta dipandu putus dua, seorang lelaki terselamat dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru malam tadi.

Jurucakap Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) berkata, ketika kejadian jam 9 malam itu, Proton Wira dipandu lelaki berusia 26 tahun itu terputus dua selepas terlanggar tembok pembahagi jalan.

Katanya, mangsa dikatakan cuba mengelak daripada merempuh sebuah kereta di hadapan yang membrek mengejut.

"Proton Wira itu meluncur di lorong tengah sebelum tiba-tiba sebuah kereta di hadapannya brek mengejut menyebabkan pemandu mengelak ke kanan lalu melanggar tembok pembahagi jalan.

"Kenderaan itu kemudiannya berpusing beberapa kali dan terputus dua sebelum dirempuh sebuah Honda City yang gagal mengelak," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu Honda City, seorang lelaki 19 tahun mengadu sakit dada," katanya.

Kes diklasifikasi mengikut Peraturan 10 LN166/59.

Kejadian itu turut tular di media sosial.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 12:23pm
d