mutakhir

Arwah Ismail Kamus pemurah, suka bersedekah

Oleh Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENDAKWAH terkenal, Allahyarham Datuk Ismail Kamus cukup dikenali sebagai pemurah dan suka bersedekah dalam kalangan adik-beradiknya.

Adik keenam arwah, Samsiah Kamus, 67, berkata, arwah abangnya seorang yang penyayang dan suka bergurau selain tidak lokek menghulurkan bantuan.

"Setiap kali raya, memang adik-beradik lain akan menerima sumbangan daripada arwah abang, karakternya yang suka bergurau memang akan dirindui.

"Pastinya kehilangan arwah akan dirasai oleh semua orang, sama-samalah kita berdoa semoga roh arwah abang dicucuri rahmat," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan As-Sobirin, Lembah Keramat di Kuala Lumpur, hari ini.

Jenazah pendakwah itu selamat disemadikan kira-kira 11 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Sobirin AU4 di Lembah Keramat.

Harian Metro difahamkan, jenazah arwah disembahyangkan beberapa kali berikutan arahan polis supaya mengamalkan penjarakan sosial.

Ditanya bila kali terakhir dia berjumpa abangnya, Samsiah berkata, beberapa jam sebelum abangnya meninggal dunia dia sempat mengusap kepala arwah dan pulang ke rumah di Kampung Melayu Rasa Tambahan di Hulu Selangor.

"Bagaimanapun, selepas beberapa jam pulang, saya dimaklumkan arwah abang sudah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan sangat tenang," katanya.

Menurutnya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia juga ada menemui arwah abangnya dalam satu majlis perkahwinan.

"Ketika itu arwah masih sihat dan tidak meninggalkan sebarang pesanan," katanya.

Berita berkaitan

Ismail Kamus permata di zamannya

Ceramah Tuan Guru Ismail Kamus sentiasa ditunggu

Tuan Guru Ismail Kamus selamat dikebumikan

Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

Dakwaan Ismail Kamus meninggal palsu

Ismail Kamus bertambah baik

Doakan ayah saya - Firdaus Ismail

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 12:53pm
d