mutakhir

Sasar 50 peratus bekas banduan dapat kerja

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Penjara Malaysia (JPM) Pahang mensasarkan 50 peratus bekas banduan di Penjara Penor dan Bentong diterima bekerja dengan syarikat swasta dalam pelbagai sektor.

Pengarahnya Datuk Ab Basir Mohamad berkata, menerusi Program Penempatan Semula Banduan (PSB) pihaknya mempelawa syarikat swasta untuk menerima bekas banduan untuk bekerja dengan mereka.

Menurutnya, sejak PSB diperkenalkan tahun lalu lebih 40 bekas banduan diterima bekerja dengan beberapa syarikat swasta dalam pelbagai sektor di Pahang termasuk beberapa negeri lain.

Katanya, tujuan utama program PSB diwujudkan oleh Jabatan Penjara Malaysia (JPM) ialah untuk membantu bekas banduan membina kehidupan baru seterusnya meraih pendapatan tetap secara berterusan.

"Menerusi program itu juga kita berharap bekas banduan dapat menjalani kehidupan yang jauh dari kampung halaman mereka, dengan cara itu peluang untuk mereka bertemu dengan rakan lama seterusnya kembali terjebak dengan aktiviti penagihan dadah dapat dielakkan.

"Justeru saya berharap lebih banyak syarikat di Pahang dapat tampil mengambil bekas banduan sebagai pekerja mereka," katanya pada majlis penyerahan sembilan bekas banduan Penjara Penor kepada empat syarikat pembersihan, di Kuantan hari ini.

Hadir sama Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain.

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira 6,000 banduan menghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong termasuk Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 yang terbabit dengan pelbagai kesalahan dan menjalani hukuman penjara serta sebatan.

Ab Basir berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati peratus bekas banduan kes dadah kembali menjadi menagih lebih tinggi apabila mereka pulang kampung selepas dibebaskan.

"Dalam masa dua hingga tiga minggu selepas bertemu rakan lama pasti mereka akan kembali menagih. Terdapat kes hanya selepas seminggu pulang ke kampung dan bertemu rakan lama mereka kembali menagih. Faktor itu menyebabkan ada dikalangan mereka keluar masuk penjara hingga lima kali membabitkan kesalahan sama.

"Saya berharap lebih banyak syarikat tampil menerima bekas banduan sebagai kakitangan mereka. Kemahiran yang dimiliki golongan ini dapat membantu mereka membina hidup baru yang sememangnya lebih mencabar dan penuh dugaan," katanya.

Menurutnya menerusi latihan dalam pelbagai bidang seperti kimpalan, memotong rumput, pertanian, ternakan dan mengendalikan jengkaut yang diterima banduan sepanjang menjalani hukuman diharap dapat membantu mereka membina hidup baru.

"Malah terdapat banduan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kemahiran mereka meletakkan golongan berkenaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 3:58pm
d