mutakhir

Menyorok dalam tandas sebelum pecah kedai [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BERSEMBUNYI di dalam tandas dan menunggu sehingga pasar raya tutup, itu modus operandi kumpulan 'Syamil' yang aktif memecah masuk kedai di pasar raya di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berjaya ditumpaskan selepas polis menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Saujana Utama pada 26 April hingga 3 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, suspek berusia 21 dan 42 tahun itu ditahan di dua rumah berasingan di Saujana Utama.

"Hasil siasatan awal polis kedua-dua lelaki ini menganggotai kumpulan Syamil yang aktif memecah masuk kedai di pasar raya dan mensasarkan kedai telefon.

"Dalam kejadian terbaru pada 25 April lalu satu kedai telefon di sebuah pasar raya dipecah masuk kumpulan berkenaan membabitkan kerugian bernilai RM43,961," katanya pada sidang media di Sungai Buloh, hari ini.

Shafa'aton berkata, polis merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya 11 telefon pintar pelbagai jenama, enam kotak rokok pelbagai jenama dan dua mesin pemotong besi.

"Modus operandi kumpulan ini adalah akan bersembunyi di dalam tandas berkenaan sehingga pasar raya tutup, suspek melakukan kerja secara berseorangan.

"Kumpulan ini mensasarkan kedai telefon sebagai sasaran utama dan aktif sejak dua bulan lalu," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan samun.

"Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 4:43pm
d