mutakhir

Covid-19: Tiga balik dari UK dan satu dari AS positif [METROTV]

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

SERAMAI 339 warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara didapati positif Covid-19 iaitu ada pertambahan empat kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes baharu itu adalah dari United Kingdom (UK) dan satu kes dari Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jumlah yang positif itu hasil ujian saringan sejak 3 April hingga hari ini.

"Setakat ini, jumlah rakyat Malaysia pulang dari luar negara yang dikuarantin adalah seramai terhadap 30,333 individu.

"Seramai 17,726 daripadanya sudah pun tamat tempoh kuarantin 14 hari dan daripada jumlah itu 339 individu didapati positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai laporan kluster Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti.

"Lokaliti pertama ialah Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara iaitu di daerah Kepong ada pertambahan tiga kes. Satu daripada kes itu adalah di luar kawasan PKPD berkenaan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif bagi lokaliti itu ialah 192 kes yang mana 82 daripadanya adalah di luar kawasan PKPD. Ia membabitkan 118 warga asing dengan satu kematian warga asing.

"Lokaliti kedua ialah di Selayang Baru. Tiada pertambahan kes hari ini. Jumlah kes positif kekal adalah 52 kes membabitkan 36 warga asing," katanya.

Bagi kluster perhimpunan Sri Petaling pula, katanya, bilangan sampel diambil setakat ini sebanyak 36,857 sampel dan daripada jumlah itu kes positif ialah 2,340 membabitkan lima generasi.

Menurutnya, ada pertambahan tiga kes hari ini membabitkan generasi ketiga kluster perhimpunan Sri Petaling itu.

Sementara itu, beliau berkata daripada 18,158 pelajar, guru dan kakitangan membabitkan 366 madrasah serta sekolah tahfiz yang sudah dikenal pasti, seramai 9,695 sudah disaring dan diuji Covid-19.

"Daripada jumlah itu didapati 424 individu iaitu 4.4 peratus adalah positif Covid-19," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, dua kluster sudah tamat tempoh pemantauan sebab tiada kes baharu dilaporkan untuk tempoh 28 hari.

"Iaitu kluster majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi yang membabitkan jumlah 96 kes dan tiada kematian.

"Kluster kedua ialah kluster Selayang membabitkan enam kes dan tiada kematian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 5:42pm
    d