mutakhir

Penarik beca menanti rezeki kembali

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KELONGGARAN pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini di Pulau Pinang diharap mampu memberi harapan baharu kepada penarik beca di negeri itu.

Ia berikutan pendapatan penarik beca yang membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Bandaraya Georgetown terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Penarik beca di lokasi pelancongan terkenal Lebuh Armenian, Manan Talib, 55, berkata jumlah pelancong menaiki beca mula berkurangan sejak Disember tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, ramai dalam kalangan rakannya berdepan situasi sama dan terpaksa akur dengan keadaan itu demi mencegah penularan wabak berkenaan.

"Kami meraih pendapatan menerusi bayaran dan saguhati oleh pelancong dan bagi sesetengah lokasi, beca menjadi pilihan penumpang kerana tidak perlu meredah kesesakan.

"Dengan pelaksanaan PKPB di negeri ini, saya berharap orang ramai tidak perlu khuatir dengan tahap kebersihan beca kerana ia sentiasa dibersihkan," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati deretan kira-kira 20 beca 'tersadai' sedang menunggu pelanggan walaupun tiada pengunjung di kawasan itu.

Manan berkata, pada masa sama dia bersyukur kerana menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM800 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri.

Katanya, wang itu digunakan bagi membeli makanan dan keperluan lain selain membayar sewa beca sebanyak RM100 sebulan kepada pemiliknya.

"Sudah dua bulan saya dan beberapa rakan berumah di atas beca berikutan tiada pendapatan bagi membayar sewa bilik selain tidak dapat mencari pekerjaan lain," katanya yang tinggal di Teluk Bahang, Balik Pulau.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 7:17pm
d