mutakhir

Sultan Selangor zahir rasa dukacita pemergian Ismail Kamus

Oleh Norzamira Che Noh

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia, tengah malam tadi.

Baginda dalam titah perutusan hari ini turut memaklumkan, Allahyarham adalah pendakwah amat komited dengan cara tersendiri dan banyak menyumbang kepada pembangunan dakwah Islam di Selangor dan Malaysia.

"Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris Allahyarham Ustaz Datuk Ismail Kamus yang kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat di bulan mulia ini.

"Sesungguhnya Allahyarham yang lahir di Hulu Selangor, semasa hayatnya adalah pendakwah amat komited dengan cara tersendiri dan banyak menyumbang kepada pembangunan dakwah Islam di negeri Selangor dan Malaysia

"Atas sumbangannya itu, Almarhum Ayahanda beta mengurniakan Almarhum dengan Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, D.S.S.A. pada 1996.

"Pada 2011, beta memberi perkenan untuk Allahyarham dianugerahkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah 1433H Negeri Selangor atas jasa dan pencapaian Allahyarham," titah baginda menerusi muat naik di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Sementara itu, pendakwah terkenal itu meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam tadi susulan penyakit komplikasi jantung di kediamannya di Ampang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat pada 11 pagi hari ini.

Berita berkaitan

Jenazah lembut dan tenang bagaikan tidur

Agong zahir takziah kepada keluarga Ustaz Ismail Kamus

'Bisikan kalimah syahadah terakhir'

Arwah Ismail Kamus pemurah, suka bersedekah

Ismail Kamus permata di zamannya

Tuan Guru Ismail Kamus selamat dikebumikan

Ceramah Tuan Guru Ismail Kamus sentiasa ditunggu

Tuan Guru Ismail Kamus meninggal dunia

Dakwaan Ismail Kamus meninggal palsu

Ismail Kamus bertambah baik

Doakan ayah saya - Firdaus Ismail

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 9:29pm
d