mutakhir

Politik negara berpecah kepada tiga blok

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SURAT memohon usul percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihantar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat menunjukkan politik di negara ini berpecah kepada tiga blok.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, selain Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), blok baru ini terdiri daripada mereka yang menyokong bekas perdana menteri itu yang dilabel sebagai Bersatu Plus.

Katanya, ia menjadikan senario politik tanah air semakin menarik ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19.

Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan Warisan tidak bersama kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dilihat terus memberi tekanan kepada kerajaan baharu itu.

"Surat jawapan Speaker (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof) juga jelas tiada keperluan membawa usul itu kerana saya kira tumpuan kini untuk mengekang Covid-19.

"Wujud perbezaan dari segi kolaborasi politik, tapi saya rasa kalau hendak membawa usul, ia perlu dibawa pada sidang lain, itu lebih sesuai," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, tular di media sosial surat yang dihantar Ahli Parlimen Semporna itu bertarikh 1 Mei lalu memohon membawa usul percaya kepada pemimpin berusia 95 tahun itu.

Ia disahkan Mohamamad Ariff yang memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media hari ini.

Berita berkaitan:

  • Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tepat
  • Speaker terima usul undi tak percaya kepada PM
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 9:46pm
    d