mutakhir

Tempahan baju raya tak semeriah dulu

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

"WALAUPUN tempahan baju raya yang diterima tidak banyak seperti sebelum ini, namun saya tetap bersyukur kerana masih ada yang menghantarnya untuk dijahit," kata ibu tunggal, Nor Nadia Abdullah, 31.

Nor Nadia berkata, kebiasaannya apabila tiba Ramadan dan Aidilfitri pada saban tahun, ianya menjadi lubuk rezeki berganda buatnya sebagai tukang jahit pakaian sehingga terpaksa bersekang mata hingga pagi untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19, tempahan baju raya dalam kalangan tukang jahit tidak lagi sebanyak seperti tahun sebelum ini.

"Pada tahun ini saya hanya menerima 60 pasang tempahan baju raya berbanding 150 pasang baju pada tahun sebelumnya.

"Kebiasaannya saya akan mengambil tempahan dua bulan lebih awal sebelum Ramadan, namun pada kali ini tidak banyak tempahan dan kebanyakan baju yang ada untuk disiapkan dihantar oleh pelanggan sebelum pelaksanaan PKP.

"Disebabkan tempahan baju raya yang diterima tidak banyak, saya mempunyai masa terluang lebih banyak berbanding sebelum ini bersekang mata menyiapkan tempahan dan hanya tidur dua jam sehari selain dibantu oleh tiga orang pekerja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu, baru-baru ini.

"Walaupun rezeki saya pada Ramadan kali ini tidak seperti tahun yang sudah, namun saya tetap bersyukur kerana masih ada tempahan walaupun bilangannya tidak banyak.

"Saya mengakui tempahan baju raya pad tahun ini berkurangan disebabkan wabak Covid-19 selain tidak ada lagi kemeriahan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Disebabkan hal ini, ianya secara tidak langsung memberi impak yang ketara kepada tukang jahit dan bukan saya seorang sahaja yang terkesan, tetapi saya percaya mungkin beberapa kelompok kecil tukang jahit juga mengalami situasi yang sama," katanya yang mewarisi kebolehan menjahit daripada ibunya, Che Rahimah Che Seman, 67.

Katanya, dia mengambil upah menjahit antara RM30 hingga RM250 mengikut potongan serta fesyen yang diinginkan pelanggan.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 12:11pm
d