mutakhir

Maszlee Malik tolak jawatan Mara Corp

Oleh Mohamed Farid Noh

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik hari ini menolak pelantikannya sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corporation).

Maszlee yang memuat naik keputusannya itu di akaun Facebook rasminya berkata, beliau menolak pelantikannya itu kerana negara masih berdepan Covid-19.

Katanya, beliau mengambil maklum berita yang tersiar mengaitkan namanya dengan lantikan di sebuah agensi kerajaan.

"Saya percaya, apa-apa sahaja bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat, dan harus pulang kepada rakyat. Kepentingan rakyat adalah paksinya dan bukannya keuntungan peribadi.

"Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya.

"Buat masa ini, saya lebih terkesan dengan kesempitan hidup rakyat dan tekanan ekonomi yang dihadapi gara-gara bencana Covid-19. Di Simpang Renggam sendiri, terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

"Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana, dan kehidupan rakyat kembali stabil," katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mengumumkan perlantikan Maszlee sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp.

Jawatankuasa itu turut merangkumi wakil rakyat Paya Rumput Rafiq Naizamohideen.

Mara Corp adalah cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diterajui oleh Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun.

Abd Latiff sebelum ini menamakan 12 anggota jawatankuasa itu yang turut merangkumi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Zainal Abidin Kidam dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Md Alwi Che Ahmad.

Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, beliau yakin banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai sejak penubuhan MARA dan banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan.

"MARA berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan Bumiputera yang secara tidak langsung telah membantu memartabatkan ekonomi golongan Bumiputera.

"Agensi ini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga Bumiputera yang kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Mereka sangat-sangat perlu dibantu," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 1:26pm
d