mutakhir

Kemelut UMNO Johor, BERSATU masih tergantung

Oleh Mohamed Farid Noh

BEKAS Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyifatkan kemelut politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO di negeri ini masih tergantung malah belum menemui titik penyelesaian muktamad.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, hubungan kurang mesra antara dua parti berkenaan timbul berikutan beberapa keputusan kerajaan negeri kebelakangan ini yang lebih mengutamakan UMNO Johor sekali gus mengenepikan BERSATU.

"Masalah antara BERSATU dan UMNO Johor belum selesai dan masih tergantung.

"Apa yang berlaku di Johor ini sebenarnya perkara kecil sahaja namun sebab tak ditangani dengan betul, ia menjadi besar sehingga mewujudkan ketidakpuasan hati akar umbi BERSATU," katanya dihubungi.

Osman mengulas kenyataan Pengerusi Pimpinan BERSATU Johor Mazlan Bujang yang dilaporkan mengatakan masalah yang wujud antara parti itu dan UMNO berjaya diselesaikan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya.

Antara yang dilaporkan hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, Mazlan, Osman, bekas Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Samsolbari Jamali.

Ditanya apa yang dibincangkan bersama Perdana Menteri, Osman berkata, Muhyiddin meminta kemelut politik di Johor diselesaikan segera.

"Semalam dicadangkan supaya jawatankuasa pemimpin antara parti ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah yang tertunggak.

"Perdana Menteri juga mahu kerjasama antara dua parti dieratkan lagi dengan keputusan dibuat perlulah menghormati semua parti dalam PN sekali gus tidak mengenepikan mana-mana pihak," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 1:31pm
d