mutakhir

Mayat mangsa lemas 3 hari ditemui

Oleh Roselan Ab Malek

MAYAT mangsa yang tergelincir ke dalam Sungai Jelai ketika membuang air yang bertakung dalam bot, Khamis lalu, ditemui hari ini.

Mangsa, Asri Sallih, 47, dari Kampung Tanjung Lipis, Lipis ditemui terapung pada jam 8.45 pagi di hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira lapan kilometer dari tempat kejadian.

"Operasi SAR dihentikan pada jam 9.40 pagi dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, mangsa yang bertugas di Majlis Daerah Lipis dilaporkan tergelincir ke dalam sungai terbabit ketika membuang air yang bertakung dalam bot.

Pada jam 2 petang, keluarga mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kepada mangsa kerana mendapati ada runtuhan tanah di kawasan jeti lokasi bot mangsa diletakkan.

Ahli keluarga dan jiran mencari mangsa di sekitar lokasi jeti dan mendapati bot mangsa dalam keadaan terbalik sebelum membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 1:51pm
d