mutakhir

Mesin beras automatik bantu golongan terjejas

Oleh Nor Farhani Che Ad

PRIHATIN dengan nasib golongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Murtadha Dakwah Centre (MADAD) menyediakan lima mesin beras automatik bagi memudahkan mereka yang memerlukan mendapatkan sumber bekalan beras.

Pengasas MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yussof berkata inisiatif itu juga adalah bagi penyelesaian kepada masalah pembayaran fidyah.

"Asalnya untuk fidyah, tetapi apabila PKP, saya maklumkan kepada pasukan saya, jangan letakkan asnaf sebagai fokus.

"Sekarang ini dalam waktu fasa PKP, ada kajian menyatakan ramai yang berhadapan dengan masalah penggangguran," katanya.

Yaakub berkata, empat daripada mesin berkenaan sudah diagihkan masing-masing di Parlimen Merbok, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, DUN Pantai Merdeka, DUN Kuala Ketil, Kedah untuk ditempatkan di kawasan masing-masing.

Katanya, selain itu, pusat operasi (MADAD) yang bertempat di Sungai Jagung, di sini, juga menjadi salah satu lokasi bagi proses pengambilan dan pengeluaran beras menerusi mesin berkenaan yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka Ahmad Fadzli Hashim berkata, mesin berkenaan kini ditempatkan di Pusat Khidmat DUN di Tikam Batu.

Beliau berharap dengan adanya mesin beras automatik itu, ia bukan sekadar dapat membantu anak kariah yang memerlukan makanan asasi itu tetapi juga menggalakkan orang ramai untuk menyumbang.

"Kita akui ramai yang datang menyumbang bekalan makanan, tetapi kita ingin fokus kepada bekalan beras memandangkan ia adalah makanan asasi.

"Jadi, kita harap dengan adanya mesin ini, ia dapat menggalakkan lebih ramai memberi sumbangan dalam bentuk bekalan beras untuk kita salurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 2:46pm
d