mutakhir

HTAR perlu bekalan darah

Oleh Rosyahaida Abdullah

HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor memohon ihsan orang awam untuk tampil menderma darah di hospital itu bagi memenuhi keperluan darah harian yang semakin berkurang sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

HTAR dalam kenyataan semalam berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kempen derma darah yang dikendalikan HTAR melalui Jabatan Perubatan Transfusi Darahnya (Tabung Darah) terpaksa dibatalkan.

Ia mengakibatkan penurunan stok darah yang agak ketara untuk dibekalkan bagi kegunaan pesakit di HTAR serta beberapa lagi hospital lain.

"Pihak HTAR memerlukan sekurang-kurangnya 150 hingga 200 unit darah setiap hari untuk kegunaan pesakit di HTAR, Hospital Shah Alam, Hospital Banting, Hospital Tanjung Karang, Hospital Sabak Bernam serta hospital swasta di sekitar Klang.

"Oleh itu, HTAR berharap orang awam terutamanya penderma tetap dapat hadir menderma bagi memastikan bekalan darah kembali mencukupi," katanya.

Jelas beliau, sempena Ramadan ini, Tabung Darah HTAR Klang sudah diberi kelulusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor untuk melanjutkan waktu operasi bermula 25 April lalu sehingga 22 Mei ini iaitu dari 8 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Jumaat.

Manakala pada Sabtu dan Ahad, waktu mula operasi dilewatkan kepada 10 pagi namun masih sehingga 10 malam.

"Oleh itu, penderma darah bukan Islam digalakkan hadir menderma sehingga jam 5 petang manakala penderma Islam disaran hadir menderma selepas berbuka puasa.

"Penderma juga disaran untuk menunjukkan buku derma darah serta Slip Kehadiran Derma Darah yang disediakan secara dalam talian melalui Facebook Page Derma Darah HTAR kepada pihak berkuasa jika terdapat sekatan jalan raya," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, HTAR juga akan memastikan segala tatacara pengurusan seperti mana disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

"Kita juga akan mengikut Garis Panduan Aktiviti Pendermaan Darah dan Kriteria Pemilihan Penderma Darah Berdasarkan Situasi Semasa Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia yang dikeluarkan oleh Pusat Darah Negara (PDN)," katanya.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai pendermaan darah, orang ramai boleh menghubungi pihak HTAR di talian 03-33757000 sambungan 1250 atau melayari Facebook Page Derma Darah HTAR.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 5:39pm
d