mutakhir

Pindah balak haram waktu berbuka

Oleh Mohd Rafi Mamat

CUBAAN dua pemandu lori memindahkan balak bernilai RM12,000 ketika waktu berbuka puasa gagal apabila mereka diberkas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin di simpang Kompleks Komuniti Ladang Risda Keratong, Rompin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, dua pemandu lori berusia 31 tahun tidak menduga aktiviti dilakukan dihidu pihak berkuasa yang membuat intipan di Pekoti Timur lokasi balak diambil.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, selepas menerima aduan awam, tiga anggota UTK Rompin segera ke kawasan hutan terbabit untuk membuat intipan di laluan yang biasa digunakan.

Menurutnya, selepas menunggu selama lima jam, akhirnya dua lori muncul dengan muatan lebih 400 balak pelbagai spesis seperti meranti, kelat, keranji dan kedondong.

"Balak berukuran 2.44 meter panjang itu cuba dihantar kilang papan di negeri jiran," katanya.

Beliau berkata, anggota UTK bertindak mengekori lori terbabit sejauh empat kilometer sebelum menahannya, siasatan dilakukan mendapati lori yang didaftar di Johor itu kali pertama terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Dua pemandu lori terbabit mengguna waktu berbuka puasa untuk melakukan aktiviti memindahkan balak secara haram, kerjasama masyarakat setempat yang membuat aduan berjaya mematahkan kegiatan haram terbabit.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan hutan, hukuman mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan," katanya.

Beliau berkata, dua pemandu terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis manakala lori disita di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah.

Shairani berkata, walaupun kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Ramadan namun aktiviti penguat kuasaan tetap dijalankan terutama membabitkan kawasan panas di daerah ini.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 6:42pm
d