mutakhir

Pemandu Ford Ranger masih diburu

Oleh Juwan Riduan

POLIS masih memburu pemandu Ford Ranger Raptor yang merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kolombong, Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini suspek belum dikenal pasti kerana kenderaan berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

"Berdasarkan siasatan mendapati Ford Ranger Raptor itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beralamat di Kota Marudu.

"Kita akan jejaki kenderaan dan pemandu yang terbabit berdasarkan alamat yang kita diperoleh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya juga mohon bantuan orang ramai yang ada maklumat berkenaan kes itu supaya melaporkan di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Kenderaan Ford Ranger Raptor berwarna kelabu itu nombor pendaftaran KM95.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan bahaya," katanya.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pemandu Ford Ranger Raptor dari arah Inanam menuju ke Luyang merempuh SJR Op Covid-19 di Jalan Kolombong.

Petugas terdiri daripada polis, tentera dan Rela cuba menahan namun kenderaan memecut laju.

Akibat kejadian itu papan tanda Essential Services, kon dan lampu yang diletakkan polis di SJR berkenaan rosak.

Berita berkaitan

Lagi pemandu rempuh SJR

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 8:10pm
d