mutakhir

'I Support Frontliners' menghargai jasa barisan hadapan

Oleh Nurul Husna Mahmud

SERAMAI 325 petugas di barisan hadapan serta waris bagi yang sudah meninggal dunia akan menerima RM2,000 daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui kempen yang mereka lancarkan baru-baru ini.

Kempen dikenali sebagai 'I Support Frontliners' itu bertujuan menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertugas mengekang penularan Covid-19.

Inisiatif Pertubuhan Cintai Malaysia itu adalah hasil kerjasama pelukis tempatan, Karwai Chan yang mahir dalam penghasilan lukisan berasaskan pasir.

Melalui kempen itu, lima lukisan dihasilkan berasaskan situasi sepanjang pandemik selain dua potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

Potret itu akan disumbang kepada kedua-dua mereka manakala tiga lagi akan dihadiahkan kepada orang ramai yang membuat perkongsian paling banyak di media sosial mengenai kempen berkenaan.

Presiden kelab itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, pihaknya mensasarkan kelima-lima lukisan berkenaan mampu mengutip RM5 juta untuk mengisi tabung berkenaan.

"Kempen ini membuka peluang kepada orang ramai menyumbang serendah RM1 kepada barisan hadapan dan mereka akan diberikan sijil sebagai tanda terima kasih.

"Bagi individu atau syarikat yang menyumbang lebih daripada RM5,000, nama mereka akan diabadikan pada potret kedua-dua wira itu.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada 200 penderma terawal kerana pelukis perlu memastikan hasil lukisannya tidak terjejas," katanya pada sidang media.

Turut hadir Karwai serta penasihat undang-undang pertubuhan itu, Mohd Kifli Abu Samah. Menurutnya, pihaknya tidak bercadang mengadakan pameran secara terbuka kerana enggan menggalakkan perhimpunan sosial sebaliknya menggunakan kaedah atas talian.

"Mereka yang menghulurkan sumbangan akan menerima sijil pengiktirafan (E-certification)," katanya.

Pihak yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun Maybank Pertubuhan Cintai Malaysia di 5627 5969 0033 dan menghubungi Zaini Itam di talian 019-2626626 atau 012-3023384 (Vincent) untuk menuntut sijil.

Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 10:32pm
d