mutakhir

PPj beri pengecualian bayaran sewa

Oleh Samadi Ahmad

BAGI meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi pengecualian sewa selama enam bulankepada premis milik Kerajaan Persekutuan di pusat pentadbiran kerajaan ini.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi, berkata PPj sudah merancang untuk memberi pengecualian sewaan bagi premis seliaan di bawahnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selaras diumumkan kerajaan.

Menurut beliau, selain pengecualian bayaran sewa bagi Mac dan April, PPj turut memanjangkannya selama enam bulan sehingga Ogos bagi membantu peniaga yang terjejas sepanjang menangani wabak Covid-19.

"Proses kelulusan pengecualian bayaran itu perlu melalui mesyuarat dan ianya tertangguh disebabkan kekangan pegawai untuk hadir ke pejabat disebabkan PKP," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria dan kedai serbaneka.

Dalam satu sidang media yang diadakan Jumaat lalu, 80 pemilik gerai makan di bawah seliaan dibawahPPj meluahkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak memberi sebarang tindak balas berhubungpengecualian bayaran sewa selama enam bulan seperti diumumkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi, Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Putrajaya, Tengku Mohd Sharifuddin Tengku Alias, berkata PPj hanya memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulanan bagi bulan Mac dan April menyebabkan peniaga berhadapan sumber kewangan kerana hasil pendapatan menurun sebanyak 80 peratus.

Sharifuddin berkata, sebelum ini pihaknya telah menghubungi PPj bagi mendapatkan penjelasan berhubung pengecualian bayaran sewa itu,namun tidak menerima sebarang tindak balas.

Menurut beliau, tindakan itu bercanggah dengan arahan kerajaan yang membenarkan penyewa premis milik kerajaan membuat penangguhan selama enam bulankerana terjejas pendapatan sepanjang menangani pendemik berkenaan.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 11:06am
d