mutakhir

Abdul Halim R berkarya hingga akhir hayat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

"SEBELUM diserang strok Selasa lalu, dia beritahu saya mahu meninggal dunia ketika Ramadan, dan bibirnya tidak henti berzikir sehinggalah saya dengar sendiri dia mengucap kalimah syahadah pada akhir nafasnya," kata Datin Noraini Ahmad, 54.

Isteri kepada sasterawan, Datuk Abdul Halim Salleh, 82, berkata suaminya meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 3.20 pagi hari ini selepas lima hari dirawat di hospital berkenaan.

Katanya, arwah yang menggunakan nama penanya Abdul Halim R masih aktif menulis dan sedang menyiapkan biografi mengenai perjalanan hidupnya yang bertajuk 'Di Tengah Manusia'.

"Sudah dua tahun arwah menulis buku itu dengan tulisan tangan, walaupun belum siap, namun itulah hasil karyanya yang terakhir.

"Dia menulis sekiranya keadaan kesihatan mengizinkan, ini kerana arwah mengidap kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan turut melakukan rawatan dialisis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman PKNK, Alor Setar, hari ini.

Noraini yang mendirikan rumah tangga bersama arwah pada 2012 berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary, Alor Setar selepas solat Zohor, hari ini.

Katanya, arwah meninggalkan lima anak hasil perkahwinan terdahulu termasuk 30 cucu dan lima cicit.

Abdul Halim adalah bekas guru dan sering menghasilkan cerpen, antologi bersama, novel, sajak, pantun dan buku.

Antara tulisan beliau ialah Setaman Pantun Kenangan, Syair Kedah Darulaman, Fatomorgana dan lain-lain.

Allahyarham pernah diberi pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada 2014.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 1:39pm
d