mutakhir

Pekerja warga asing jalani 'swab test'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PEKERJA warga asing di Pulau Pinang mula menjalani saringan kesihatan Covid-19 iaitu 'swab test' bagi mencegah penularan pandemik wabak itu di tempat kerja.

Tinjauan Harian Metro di sebuah klinik di Jalan Dato Keramat, Georgetown, hari ini mendapati kira-kira 100 warga asing berbaris di hadapan premis itu bagi menunggu giliran membuat ujian saringan.

Ada antara mereka yang datang sendiri ke klinik berkenaan dan ada yang dihantar majikan seawal 8.30 pagi.

Dengan mengamalkan penjarakan selamat, urusan berkenaan turut dipantau anggota polis yang membuat rondaan.

Pekerja warga Indonesia, Andri, 33, berkata dia bersama dua lagi rakannya datang sendiri ke klinik bagi membuat ujian saringan.

Katanya, dia turut diberi elaun oleh majikannya bagi menjalani ujian itu.

"Rakan yang lain ada yang dapat elaun daripada majikan masing-masing atau menggunakan wang sendiri sebelum dibayar semula oleh majikan.

"Saya bekerja di kilang elektronik di Bayan Lepas, jadi kesempatan hari cuti ini kami datang buat ujian saringan," katanya.

Mengulas lanjut, Andri berkata, dia sudah dua tahun bekerja di Bayan Lepas sebagai operator pengeluaran dan dipanggil semula bekerja pada 8 Mei lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri ini.

"Pekerja perlu berhati-hati kerana di kilang ada ramai orang, kami juga takut dijangkiti (Covid-19) atau dibuang kerja kerana itu kami datang membuat ujian saringan," katanya.

Difahamkan, kebanyakan warga asing itu terdiri daripada pekerja di sektor perkilangan, pembinaan dan pembantu di kedai makan di negeri ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan kesihatan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, ia membabitkan semua sektor, sama ada komersial, kilang, pembinaan, kedai makan dan sebagainya sebagai langkah pencengahan.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 2:13pm
d