mutakhir

Penjaja, peniaga warga asing masih berdegil

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENJAJA dan peniaga warga asing di sekitar ibu kota didapati masih berdegil dengan meneruskan operasi walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertegas mengenakan tindakan terhadap mereka.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi di sekitar ibu kota mendapati peniaga warga asing membuka perniagaan kedai runcit, kedai menjahit pakaian dan kedai telekomunikasi.

Ada antara mereka mengaku hanya sebagai pekerja namun siasatan mendapati perniagaan yang dijalankan mereka tidak mempunyai lesen yang sah dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Seorang peniaga warga asing, Susilawati, 43, berkata, dia terpaksa membuka kedai susulan tidak mempunyai pendapatan selama dua bulan.

"Saya tidak boleh pulang ke Indonesia kerana sekatan ini, dulu hari-hari kedai boleh buka namun kini tidak dibenarkan.

"Memang kedai di tepi jalan ini tidak mempunyai lesen, tetapi saya menyewa kedai dengan orang tempatan, dia yang membenarkan saya melakukan perniagaan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Pantai Dalam, Kuala Lumpur mendapati kebanyakan kedai jahit di kawasan ini menggaji pekerja warga asing.

Pemerhatian mendapati, kebanyakan mereka adalah warga Bangladesh dan Pakistan dan dipercayai mempunyai permit kerja sah.

Pemilik kedai jahit yang enggan dikenali berkata, dia terpaksa mengaji warga asing kerana menerima permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan ini.

"Walaupun pergerakan terhad namun permintaan untuk membuat baju raya juga tinggi dan memaksa saya menggajikan pekerja warga asing kerana mereka berkemahiran dalam melakukan jahitan.

"Cuma permit yang dikeluarkan kepada mereka adalah bidang berlainan seperti pembinaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, DBKL menyita lima premis yang dikendalikan warga asing di sekitar Bukit Bintang, hari ini.

DBKL melalui Facebook rasminya memaklumkan tiga premis di Jalan Berangan, Bukit Bintang disita kerana dikendalikan warga asing.

"Premis kedai runcit dan kedai buah itu dikendalikan warga asing dan membuka operasi tanpa kebenaran.

"Dalam operasi sama, DBKL turut menyita dua premis iaitu restoran dan kedai runcit yang dikendalikan warga asing di Jalan Asoka, Bukit Bintang," katanya.

Menurutnya, semua premis berkenaan ditutup kerana melakukan kesalahan dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Jurucakap DBKL berkata, pihaknya kini sedang mengenalpasti premis-premis yang dikendalikan warga asing di sekitar ibu kota.

"Tindakan menyita dan menutup premis akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai premis perniagaan yang dikendalikan warga asing boleh menyalurkan aduan kepada DBKL untuk diambil tindakan segera," katanya.

Pada 6 Mei lalu, DBKL mengumumkan akan menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) bagi memastikan tiada warga asing terbabit dalam industri khususnya di sektor Tred, Perniagaan dan Industri serta Penjajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, tindakan penguatkuasaan itu nanti turut membabitkan lain-lain agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 4:19pm
d