mutakhir

1,132 warga asing positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Rosyahaida Abdullah

SERAMAI 24,125 warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 1,132 daripadanya didapati positif virus itu setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah positif itu, 641 kes sembuh manakala 487 kes masih dirawat di hospital.

"Tiga pesakit warga asing kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan terdapat empat kematian direkodkan membabitkan golongan itu.

"Saringan masih dijalankan terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bukan sahaja bagi warga asing malah membabitkan warga tempatan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai PKPD di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 2,900 individu berada dalam kawasan itu.

"Kami memperuntukkan selama 10 hari bagi membuat pemeriksaan dan saringan di kawasan itu. Justeru, semua penghuni dinasihatkan terus berada di rumah dan melindungi warga emas sementara proses pengesanan dilakukan.

"Mana-mana individu yang didapati positif akan diasingkan, manakala yang mempunyai kontak rapat dengan individu positif pula akan dikuarantinkan selama 14 hari tanpa mengira warga asing atau tempatan.

"Langkah pengesanan ini terbukti berkesan menerusi pelaksanaannya di lokasi lain PKPD yang berjaya mengawal Covid-19 daripada merebak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 6:13pm
    d