mutakhir

Covid-19: Sasar capai satu angka seminggu dua lagi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Rosyahaida Abdullah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan mencapai satu angka bagi jumlah kes jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh seminggu dua lagi bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa serta kes baharu yang direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika dilihat kepada perkembangan terkini, kes jangkitan Covid-19 di negara ini berada pada tahap terkawal.

Katanya, meskipun wujud beberapa kluster baharu namun apa yang lebih penting adalah melihat perkembangan terkini kes baharu yang dikesan setiap hari disertai tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita sudah melaksanakan PKP Fasa 1, 2, 3 dan 4 di mana sekarang kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membuka sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal.

"Pemantauan dilakukan setiap hari dan kita dapati kes masih terkawal. Jika kepatuhan rakyat tinggi, insya-Allah kita dapat kawal dan kurangkan lagi kes yang sudah dikesan.

"Kita baru berada di minggu pertama PKPB, mungkin dalam seminggu dua lagi kita akan lihat perkembangannya sama ada ia memberikan impak tinggi dalam menurunkan kes sehingga mencapai kawalan penularan Covid-19 dalam masyarakat," katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap dapat kekalkan dua angka kes setiap hari namun sasaran utama adalah mengurangkan jumlah kes hingga mencapai satu angka dalam tempoh seminggu dua lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 6:23pm
    d