mutakhir

Peneroka FELDA sambut baik perlantikan Idris Jusoh

Oleh Rosman Shamsudin

SERAMAI 111,638 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berharap perlantikan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi FELDA baharu mampu memberi sinar buat mereka.

Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, perlantikan beliau disambut baik masyarakat FELDA kerana tepat pada masanya dalam memacu kecemerlangan agensi itu ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Katanya, pihaknya berharap Idris mampu memberi kerjasama sepenuhnya dengan FELDA dan menyuntik idea baharu kerana beliau mempunyai latar belakang kepemimpinan berjiwa rakyat.

"Saya mewakili warga peneroka FELDA di seluruh negara mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Idris Jusoh yang dilantik bagi menjaga kebajikan peneroka dan kepentingan FELDA.

"Sokongan dan dokongan serta kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada beliau dalam memastikan kebajikan warga peneroka terbela dan FELDA berada di landasan betul," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga berharap isu-isu berkaitan peneroka FELDA dapat diselesaikan dengan efektif terlebih dahulu sebelum mengembalikan kegemilangan FELDA yang sebelum ini terkenal di seluruh dunia.

Katanya, warga peneroka FELDA yakin dengan perlantikan beliau yang sememangnya dikenali rakyat mampu membawa perubahan untuk masa depan FELDA.

Bekas Menteri Pendidikan Tinggi itu dilantik sebagai Pengerusi dan Pengerusi Lembaga Pengarah agensi terbabit berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.

Beliau mengambil alih daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 8:41pm
d