mutakhir

Penduduk cemas, air sungai melimpah [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

KIRA-kira 85 penduduk di Kampung Bentong Luar, Kluang, berhadapan detik cemas selepas air Sungai Melantai melimpah dan memasuki kawasan kediaman mereka jam 4.35 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kluang dalam kenyataan berkata, hujan lebat bermula jam 2 petang menyebabkan air Sungai Melantai melimpah dan sebahagian rumah dinaiki air.

Katanya, berikutan kejadian itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan.

"Bagaimanapun, sehingga jam 7.30 malam ini tiada mangsa yang dipindahkan dan ia sudah semakin surut berikutan hujan berhenti lewat petang tadi.

"Sebagai langkah keselamatan, pasukan keselamatan akan terus membuat pemantauan kerana bimbang hujan yang boleh menyebabkan air naik secara tiba-tiba," katanya.

Sekretariat JPBD Kluang juga berharap penduduk bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 9:23pm
d