mutakhir

Dugaan Ramadan

Oleh Ramli Ibrahim

HUJAN lebat tiga jam menyebabkan 30 rumah di Kampung Tanah Puteh dan Kampung Lepan Jaya, dekat Gua Musang, dilanda banjir kilat, jam 1.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, kebanyakan penghuni rumah terbabit sedang tidur dan terpaksa bangun apabila mendapati rumah mereka dipenuhi air.

Seorang penduduk di Kampung Tanah Puteh, Abdullah Isa, 70, ketika sedar daripada tidur, air sedalam 0.3 meter (m) sudah memenuhi rumahnya sebelum meningkat dengan cepat ke paras hampir satu m.

Berikutan itu, katanya, dia tidak sempat menyelamatkan barang kerana lebih mengutamakan keselamatan ahli keluarga.

Dia mengakui kampung itu memang kerap dilanda banjir kilat apabila hujan lebat kerana berada di kawasan rendah berhampiran anak sungai.

"Kami sudah beberapa kali menanggung kerugian apabila perabot ditenggelami banjir kilat dan pagi ini sekali lagi berdepan kerugian," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosnani Che Ahmad, 66, pula berkata, dia terpaksa mengharungi banjir paras pinggang untuk ke kawasan selamat.

Dia berkata, memang banjir kilat itu tidak lama dan cepat surut apabila hujan berhenti tetapi keadaan dalam rumah akan dipenuhi lumpur.

"Kita hanya berpindah sementara di kawasan tinggi di kampung dan sejam kemudian, pulang ke rumah untuk membersihkan rumah selepas banjir surut.

"Kalau kita lambat berbuat demikian, semakin sukar membersih lumpur yang menebal di dalam rumah ," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Yusoff berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu jam 1 pagi.

Beliau berkata, lima anggota diarah ke lokasi bagi membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat sebelum pulang ke kediaman masing-masing, dua jam kemudian.

"Bagaimanapun, tidak ada kejadian buruk berlaku kerana penduduk di kampung berkenaan kerap berdepan kejadian seumpama itu sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 8:07am
d