mutakhir

TNB agih RM110,000 bantu asnaf

Oleh Mohd Rafi Mamat

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyumbang RM110,000 bagi membantu meringankan beban golongan asnaf di Pahang yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, sumbangan berkenaan disalurkan kepada 11 Pejabat Tanah dan Daerah yang akan bertanggungjawab mengagihkan bantuan membabitkan barangan keperluan harian dan keperluan lain.

Menurutnya, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban ditanggung masyarakat yang terjejas sumber pendapatan disebabkan tidak dapat bekerja dalam temphh PKP.

Katanya, sumbangan berkenaan adalah sebahagian zakat perniagaan TNB Pahang tahun lalu dan kali pertama pihaknya mengagihkan zakat perniagaan kepada masyarakat berbentuk barangan keperluan harian.

"Setiap daerah menerima RM10,000 dan pegawai daerah akan bertanggungjawab untuk menguruskan agihan kepada golongan yang layak menerima,kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) setiap daerah dapat melancarkan lagi proses pemilihan penerima.

"Selain menyediakan barangan makanan seperti beras, gula, minyak masak, sardin dan tepung kita juga turut memberi bantuan lain mengikut keperluan semasa penduduk setempat.

"TNB sentiasa prihatin dengan nasib golongan memerlukan dan bantuan yang diberikan diharap dapat meringankan beban terutama golongan asnaf," katanya ketika dihubungi di Pekan, hari ini.

Beliau bertambah, kerjasama MUIP di setiap daerah diharap dapat melancarkan lagi agihan bantuan kepada golongan asnaf.

Rozianis berkata, tahun ini pihaknya turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 wang zakat bagi kegunaan membaiki lima rumah golongan asnaf selain menyediakan keperluan di surau seperti menukar karpet, memasang penghawa dingin hawa serta mengantikan pendawaian elektrik.

"Tahun ini TNB Pahang tidak meneruskan projek Baiti Jannati seperti yang dilakukan sebelum ini bagi menumpukan kepada bantuan kepada asnaf yang terkesan berikutan PKP," katanya.

Sementara itu Penolong Pegawai Zakat Unit Faqir Miskin MUIP, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, pihaknya memuji tindakan TNB Pahang menyediakan bantuan kepada asnaf.

"Saya berharap lebih banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengikut contoh dilakukan TNB yang tidak mengabaikan tanggungjawab pada masyarakat dalam keadaan sekarang," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 12:21pm
d