mutakhir

Bau busuk mayat bayi dalam kotak

Oleh Mohd Roji Kawi

MAYAT bayi lelaki yang diletakkan di dalam kotak yang ditemui seorang bilal di surau Taman Sri Wangi, Kuching, malam tadi dipercayai ditinggalkan di atas tiang pagar surau berkenaan sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, ia berdasarkan keterangan bilal berkenaan yang mendakwa ternampak kotak itu pada jam 11.15 pagi, Jumaat lalu.

Beliau berkata, ketika melihat kotak berkenaan, bilal berusia 44 tahun itu tidak mengesyaki apa-apa dan tidak memeriksanya kerana menyangka ia milik penduduk taman perumahan itu yang mungkin meninggalkannya seketika.

"Bagaimanapun, pada jam 9.35 malam tadi, ketika bilal berkenaan bersama seorang rakannya hendak masuk ke surau itu, mereka tercium bau busuk dari arah kotak itu lalu mengambilnya dan meletakkan kotak itu di atas lantai di luar pagar surau untuk diperiksa.

"Sebaik dibuka, mereka terkejut apabila mendapati ada mayat bayi yang dibalut dengan tuala kecil di dalam kotak itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Awang Din berkata, penemuan mayat itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis dan sepasukan anggota pergi ke lokasi untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Mayat bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat dengan sulit.

"Sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan diminta menghubungi polis di talian 082-221134 atau 082-244444 bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 2:29pm
d