mutakhir

Misteri bau busuk terungkai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MISTERI bau busuk dari sebuah rumah di kondominium di Bangsar, Kuala Lumpur, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengurus kondominium berkenaan yang memaklumkan ada bau busuk seperti bangkai dalam rumah itu.

"Sepasukan anggota polis, pasukan bomba dan pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bergegas ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui mayat lelaki di ruang tamu dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah warga India berusia 73 tahun yang datang ke negara ini pada 2016 dan membeli rumah berkenaan.

"Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia tiga hari lalu berdasarkan keadaan fizikal dengan kematian disyaki berpunca akibat serangan jantung berdasarkan ubat ditemui pada meja di ruang tamu.

"Difahamkan mangsa tinggal bersendirian di rumah terbabit sejak 2010 dan dikatakan pesakit kanser prostat.

"Lelaki itu tidak bekerja dan mempunyai dua anak yang masing-masing tinggal di Itali serta Hong Kong," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan forensik di lokasi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah terhadap mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik PPUM untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.

"Orang ramai yang menpunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 3:12pm
d