mutakhir

Pengawal, pekerja sekolah tidak dilupakan

Oleh Nazri Abu Bakar

WALAUPUN tidak dapat bertugas di sekolah susulan pandemik Covid-19, namun ia bukan halangan buat guru menjalankan aktiviti kebajikan khusus termasuk menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin.

Ini dibuktikan apabila Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan Othman Shawal (SKOS), Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka, mengadakan program Kongsi Rezeki untuk disalurkan kepada anak yatim dan golongan miskin.

Program dengan kerjasama Unit Bantuan Hal Ehwal Murid, Kelab Guru dan Staf serta Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) itu turut membabitkan penyampaian sumbangan kepada pekerja kebersihan dan pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

Yang dipertua PIBG sekolah itu, Rokaman Serom berkata, sumbangan berbentuk wang tunai, beras, kurma dan penutup muka berkenaan antara inisiatif membantu golongan yang kurang berkemampuan terutama ketika bulan mulia dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Katanya, kerjasama penganjuran yang amat baik membabitkan sokongan persatuan, kakitangan dan guru-guru yang bersatu hati untuk memastikan program dapat diadakan dengan lancar.

"Sumbangan yang dihantar guru-guru ke rumah pelajar dan pekerja terbabit juga mengeratkan hubungan silaturahim selain bertanya khabar dan meninjau perkembangan semasa murid-murid murid di rumah.

"Sementara yang berada di luar kawasan sumbangan dimasukkan terus ke dalam akuan pelajar bagi memastikan ia sampai kepada penerima dan boleh dibelanjakan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri," katanya.

Guru besar sekolah itu, Normah Awal mengetuai penyampaian sumbangan berkenaan yang turut dihadiri jawatankuasa program sekali gus menyampaikan pesanan dan panduan pendidikan di rumah masing-masing.

Pelajar, Nur Hijratul Rabbianna Muhammad Ramdzan, 12, berkata, dia terkejut dengan kehadiran guru-guru ke rumahnya namun gembira dapat bertemu selepas sudah sekian lama tidak ke sekolah.

Menurutnya, dia amat menghargai sumbangan berkenaan dan bersyukur dengan ingatan ikhlas terbabit terutama ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 3:16pm
d