mutakhir

Kantoi cuba buang bayi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TINDAK tanduk mencurigakan dua lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun yang berulang-alik berhampiran sebuah pondok rehat di Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam membawa penemuan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan.

Bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat dipercayai anak suspek berusia 20 tahun bersama kekasihnya ditemui di pondok rehat itu pada 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, kehadiran dua-duanya yang menunggang motosikal disedari anggota melakukan rondaan bermotosikal di lokasi berkenaan.

Katanya, anggota yang curiga dengan tindak tanduk mereka segera menghampiri dua suspek sebelum bertanya tujuan mereka berada di lokasi kejadian namun kedua-duanya gagal memberikan jawapan yang munasabah.

"Hasil siasatan, mereka mengaku cuba membuang bayi lelaki itu dengan meninggalkannya di pondok rehat berhampiran sebelum menunjukkan lokasi dimaksudkan kepada anggota.

"Suspek mengaku bayi itu dilahirkan kekasihnya di rumah pada petang sama (semalam) tanpa pengetahuan ahli keluarga dan mengambil keputusan membuang bayi itu kerana bimbang rahsia mereka terbongkar.

"Bayi yang masih terdapat kesan darah pada anggota badannya itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razmi berkata, bayi lelaki seberat 2.89 kilogram itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan doktor menjangkakan dia sudah dilahirkan lebih kurang sembilan jam sebelum diselamatkan.

Katanya, selain menahan dua suspek lelaki, pihaknya turut menahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan untuk siasatan.

"Mereka kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 4:10pm
d