mutakhir

'Kantoi' pokok ganja depan rumah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGANGGUR ditahan polis kerana menanam pokok ganja di rumahnya di Taman Sri Gombak, Batu Caves, di Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan di rumah itu jam 10.30 malam selepas menerima maklumat.

Menurutnya, lelaki berusia 31 tahun yang tidak bekerja itu ditahan selepas pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja di dalam bilik.

"Turut ditemui ialah botol plastik yang diubah suai disyaki peralatan untuk menghisap dadah.

"Pasukan polis juga menemui satu bekas plastik yang mengandungi pokok yang berdaun disyaki pokok ganja dengan anggaran tinggi 50 sentimeter di hadapan rumah itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, hasil ujian air kencing suspek positif dadah jenis ganja dan siasatan awal dapati pokok dipercayai ganja itu ditanam sendiri suspek sejak dua bulan yang lalu menggunakan benih ganja yang diperoleh daripada saki baki ganja dimilikinya.

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau kini ditahan reman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6/6B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 4:12pm
d