mutakhir

Lima premis dikendali warga asing ditutup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lima premis perniagaan membabitkan kedai runcit dan barang basah dikendalikan warga asing ditutup serta disita dalam pemeriksaan dilakukan di empat lokasi berasingan sekitar ibu kota ini, hari ini.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan khas terhadap premis dikendalikan warga asing tanpa kebenaran di sekitar Jalan Dwi Tasik, Bandar Tun Razak; Jalan Horley, Jalan Khoo Teik Ee dan Jalan Walter Grenier, Bukit Bintang.

"Dalam pemeriksaan ini, kami menutup dan menyita lima premis membabitkan kedai runcit dan barang basah dikendalikan warga asing.

"Selain itu, tindakan penguatkuasaan menyita barang perniagaan juga dilakukan membabitkan satu premis cuci kereta dikendalikan warga asing dan tiada lesen sah dari DBKL," katanya.

Katanya, semua barangan peralatan perniagaan disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong bagi proses dokumentasi.

"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan mengikut peruntukan dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Tindakan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 4:17pm
d