mutakhir

Sakit badan cuci banjir lumpur

Oleh Safuri Kamarudin

PENDUDUK yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda kira-kira 12 kampung di daerah Baling, malam semalam sibuk membersihkan rumah masing-masing, hari ini.

Mohamad Redzuan Saad, 44, dari Kampung Cenerai, Siong, berkata hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter.

Katanya, mereka sekeluarga baharu sahaja berbuka puasa ketika itu, dan hanya sempat menjamah sedikit makanan sebelum terpaksa keluar dari rumah yang mulai dimasuki air.

"Air banjir bercampur lumpur menyebabkan banyak barang termasuk tikar getah dan perabot rosak kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat selamat kerana air masuk dengan cepat.

"Malah, lantai dan dinding penuh dengan lumpur dan terpaksa dicuci dengan segera kerana berbau tanah," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, bagi meringankan beban, rakannya turut membantu membersihkan rumah kerana banyak barang terkena lumpur.

"Badan sampai rasa sakit kerana terpaksa membersih segera rumah pada bulan puasa ini, selain bimbang berlaku banjir lagi kerana cuaca masih mendung," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Abdul Bari Abdullah berkata, banjir kilat berlaku akibat limpahan air Sungai Ketil ke penempatan penduduk di tebing sungai dan kawasan rendah.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 4:43pm
d