mutakhir

Bantuan kemanusiaan harus 'buta' - Dr Zulkifli

Oleh BERNAMA

BANTUAN kemanusiaan harus 'buta' agama, bangsa dan warna kulit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam hal ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu memilih untuk memimpin melalui teladan.

Dalam catatannya di Facebook, beliau berkongsi gambar dan kisah bantuan khusus #MUSAADAHCOVID19 daripada Jabatan Perdana Menteri (Hak Ehwal Agama) yang menjangkau semua agama.

"Saya mendapat kiriman mesej sahabat saya, Reverend Jonathan Jesudas dari Tamil Methodist Church Petaling Jaya mengenai 15 keluarga bukan Islam di Desa Mentari yang memerlukan bantuan barangan asas dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). ⁣

"Alhamdulillah, pada hari ini saya dimaklumkan bantuan khusus daripada JPM (Hal Ehwal Agama) sudah sampai kepada mereka melalui NGO (badan bukan kerajaan) yang diamanahkan untuk menyampaikan bantuan itu," katanya dalam catatan yang dikongsi lebih 140 akaun setakat ini.

Zulkifli berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan April lalu, sebanyak RM132 juta dibelanjakan agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meringankan beban lebih 200,000 umat Islam di seluruh negara yang memerlukan.

Daripada jumlah itu juga, katanya, lebih 2,000 orang bukan Islam mendapat bantuan.

"Dalam soal bantuan kemanusiaan, kita 'buta' akan agama, bangsa dan warna kulit. Itulah semangat rakyat Malaysia. Moga kita sama-sama dapat mengharungi ujian ini hingga pengakhirannya," katanya.

Catatannya mendapat reaksi positif netizen yang antara lain menganggap beliau meletakkan satu penanda aras yang baik sebagai seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama.

Pengguna Facebook Zamri Abdullah dalam komennya menulis "Alhamdulillah, moga muhibbah, perpaduan warga Malaysia bertambah erat" manakala Fiza Wati menulis "Ini baru betul menteri agama. Jaga semua agama.

Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 5:11pm
d